APA KEPERLUAN UTAMA IBU BAPA KITA SELEPAS MEREKA MENINGGAL DUNIA?
Tadabbur ringkas juzuk 13 sempena hari 13 Ramadhan
Pernah saya dapat satu mesej yang menyarankan agar kita sedekah al-Fatihah kepada ibu bapa kita sama ada yang masih hidup atau sudah meninggal dunia. Soalannya, adakah tindakan ini bertepatan dengan al-Quran dan al-Sunnah?
Ayuh kita ikuti kisah doa nabi Ibrahim AS ini;
رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Ertinya: (nabi Ibrahim berdoa) "Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan" (Ibrahim 14:41).
Cara doa nabi Ibrahim AS ini kelihatan konsisten dengan cara nabi Nuh AS:
رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَنْ دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا تَبَارًا
Ertinya: "Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman); dan janganlah Engkau tambahi orang yang zalim melainkan kebinasaan!" (Nuh 71:28).
Barangkali ada yang kata, para nabi lampau berdoa sedemikian kerana mereka tiada "AL-FATIHAH". Ini jawapannya, Rasulullah SAW sendiri apabila mendengar berita kematian akan mendoakan pengampunan dan rahmat:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى لَهُمْ النَّجَاشِيَّ صَاحِبَ الْحَبَشَةِ فِي الْيَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ وَقَالَ اسْتَغْفِرُوا لِأَخِيكُمْ
Ertinya: Apabila Rasulullah SAW mendapat berita kematian al-Najasyi (Raja Habsyah yang memberi perlindungan kepada umat Islam Mekah dalam Hijrah pertama), baginda lalu bersabda: AYUHLAH KAMU SEMUA MEMOHON PENGAMPUNAN ALLAH KEPADA SAUDARA KAMU ITU (Sahih al- Bukhari & Muslim).
Jika mahu baca al-Fatihah juga, jangan diabaikan SUNNAH yang Rasulullah SAW ajar. Selepas ini, jika terdengar berita kematian seorang Muslim, ucaplah lafaz Istirja’ (INNA LILLAH…) diikuti dengan doa pengampunan untuknya seringkas اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ – bagi mencapai pahala Sunnah. Kemudian tambahilah dengan bacaan lain seperti al-Fatihah dan selainnya.
BETULKAN YANG KURANG TEPAT, BIASAKAN YANG BETUL, hidup anda akan bahagia di bawah lembayung al-Quran dan al-Sunnah.
- Abdullah Bukhari @ 29 Mei 2018 -
Comments
Post a Comment